Penetapan Bulan Ramadhan

Sebelum anda semua membaca tentang penetapan bulan ramadhan ini, eloklah anda membaca : Puasa – Takrif, Pensyariatan dan Rahsia.

Jika sudah, mari kita teruskan membaca.

Penetapan bulan ramadhan adalah berdasarkan salah satu daripada dua perkara berikut.

  1. Melihat anak bulan Ramadhan (Rukyah Al-Hilal) pada malam 30 syaaban. Ini boleh berlaku apabila seorang saksi yang adil mengatakan kesaksiannya di hadapan qadi bahawa dia telah melihat anak bulan.
  2. Mencukupkan 30 hari bulan syaaban. Ini berlaku apabila susah melihat anak bulan disebabkan awan tebal ataupun saksi yang adil tidak datang menyatakan bahawa dia telah melihat anak bulan. Ketika itu disempurnakan bulan syaaban itu 30 hari kerana itu adalah asal keadaan selagi mana tidak datang perkara lain yang bertentangan dengannya.

Dalil kenyataan di atas ialah sabda Rasulallah SAW :

صوموا لرؤيته وأفطروا لؤيته ، فإن غُم عليكم فأقدروا له ثلاثين

Hendaklah kamu berpuasa kerana melihatnya dan berbuka kerana melihatnya, sekiranya kamu terhalang daripada melihatnya maka sempurnakanlah bilangan Syaaban selama 30 hari“. Al-Bukhari dan Muslim.

Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, Seorang Arab Badwi datang menemui Rasulallah SAW lalu berkata :

Sesungguhnya aku telah melihat anak bulan Ramadhan”. Sabda baginda : “Apakah kamu menyaksikan bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah?” Katanya : “Ya”. Tanya Baginda : Apakah kamu menyaksikan bahawa Muhammad Itu utusan Allah?”. Jawabnya : “Ya”. Sabda Baginda : Wahai Bilal isytiharkan kepada orang ramai hendaklah mereka berpuasa pada esok hari“. (Disahihkan oleh Ibnu Hibban di dalam Mawarid Az-Zhamaan dan Al-Hakim)

Dengan ini, apabila anak bulan kelihatan di suatu negeri (bandar) maka penduduk negeri (bandar) yang berhampiran dengan negeri yang melihat anak bulan itu wajib berpuasa. Manakala penduduk negeri yang jauh tidak diwajibkan kerana negeri-negeri (bandar) yang dekat seperti Damsyik, Himsy dan Halab (Aleppo) dihukumkan sebagai satu negeri (bandar), berbeza dengan negeri-negeri (bandar) yang jauh seperti Damsyik, Kaherah dan Makkah.

Seperti kita di Malaysia ini, negeri-negeri yang dekat seperti Kedah, Selangor dan Johor. Contoh bagi negeri-negeri (bandar) yang jauh seperti Kuala Lumpur, Jakarta, Singapura, Jakarta.

Ukuran jauh dekat adalah berdasarkan kepada perbezaan tempat terbit anak bulan.

Dalil kenyataan di atas ialah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim (1087) daripada Kuraib katanya :

Aku telah melihat anak bulan Ramadhan sewaktu aku berada di Syam. Aku melihatnya pada mala Jumaat. Kemudian aku pergi ke Madinah pada akhir bulan, lalu Ibnu Abbas r.a. bertanya kepadaku : “Bila kamu semua melihat anak bulan?”. Jawabku : “Kami melihatnya pada malam Jumaat”. Katanya : “Apakah kamu yang melihatnya?”. Jawabku : “Ya, dan orang ramai juga telah melihatnya lalu mereka semua berpuasa dan Muawiyah juga berpuasa”. Katanya : “Kami semua melihatnya pada malam sabtu. Kami terus berpuasa sehingga sempurna 30 hari ataupun kami akan melihatnya”. Aku berkata : “Apakah tidak cukup dengan rukyah Muawiyah dan puasanya?”. Katanya : “Tidak, beginilah kami telah diperintahkan oleh Rasulallah SAW“.

Berdasarkan hadis ini para ulama’ mengatakan : Apabila puasa tidak diwajibkan terhadap penduduk negeri (bandar) yang jauh lalu seseorang penduduk negeri telah melihat anak bulan bermusafir ke negeri tersebut, maka dia hendaklah berpuasa bersama mereka diakhir bulan walaupun dia telah menyempurnakan puasa selama 30 hari. Ini kerana disebabkan perpindahanىya ke negeri tersebut, dia dianggap salah seorang daripada mereka. Dengan itu dia mesti mengikut hukum mereka. Sesiapa yang bermusafir dari negeri yang tidak melihat anak bulan ke negeri yang melihat anak bulan, dia hendaklah berbuka (berhari raya) bersama-sama mereka sama ada dia berpuasa selama 28 hari (disebabkan Ramadhan pada penduduk setempat hanyalah 29 hari, maka dia hendaklah berhari raya selepas hari ke 29) ataupun dia berpuasa 29 hari (disebabkan Ramadhan disisi mereka telah sempurna (cukup 30 hari). Walau bagaimanapun, sekiranya dia berpuasa selama 28 hari, maka dia hendaklah mengqadhakan puasanya selama satu hari kerana satu bulan bukanlah 28 hari.

Barangsiapa yang pada waktu paginya berada di negeri yang merayakan hari raya lalu bermusafir ke negeri yang jauh dan penduduknya masih berpuasa, dia wajib menahan dirinya untuk baki hari tersebut sebagai mengikut penduduk negeri tersebut.

Siap ditaip pada 13/08/09, Jam 6:45PM, Khamis. Seberbay.

One thought on “Penetapan Bulan Ramadhan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>