Hormatlah Pada Guru

Sejak akhir-akhir ini bermacam-macam perkara pelik berlaku, beberapa hari lepas, kecoh dengan kes pelajar perempuan menendang guru. Kejadian berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis. Dalam kejadian ini dikatakan seorang guru wanita ditendang oleh seorang pelajar ketika hendak mendapatkan penjelasan mengenai kata-kata kesat yang tertulis di belakang tugasan yang dihantar.

Memang tidak dinafikan banyak kejadian lebih teruk dari kejadian ini yang aku tidak ketahui, tetapi kejadian ini memang membuatkan aku rasa terpanggil untuk menulis mengenainya. Ini kerana negeri Perlis merupakan negeri kelahiran aku.

Tindakan menendang seorang guru kerana salah faham mengenai tugasan kerja kursus adalah perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku, dimana sifat hormat pada guru? adakah kau hanya belajar untuk mendapatkan sijil semata-mata?  atau kau hanya nak dapatkan kerja bergaji ribuan ringgit dengan sijil yang kau ada? tidak berguna semua itu jika guru kau tidak redha dengan tindakan kau dahulu.

Aku juga pernah dirotan, ditampar, dan bermacam denda yang telah aku alami, semua ni aku fikir memang salah aku, kalau tidak salah kenapa guru mengambil tindakan terhadap aku? Tetapi aku langsung tidak pernah dendam dengan guru-guru aku. Malah, selepas itu aku akan lebih hormat kepada mereka. Disebabkan ajaran dan didikan merekalah aku menjadi manusia berguna sekarang ini.

Kisah sekolah rendah, aku memang minat matematik, tapi malas buat latihan. Pelik bukan?  Boleh dikatakan buku latihan tambahan memang aku tidak akan habiskan latihan dalam buku tu. Sebab masa tu aku rasa tidak perlu, sebab aku dah tahu semua jawapan, tak payah susah-susah buat lagi. Berlagak la konon. Bila hendak ke sekolah, aku pasti tinggalkan buku latihan tersebut di rumah. Bila ditanya mana buku latihan kamu? jawapan aku, “terlupa cikgu!”. Nakal ya!. Rotan, ketampi, dan macam-macam denda yang lain, namun aku tetap tak bawa buku latihan tersebut 😀 .

Tetapi cikgu memang pelik dengan aku, setiap kali ujian bulanan atau peperiksaan, aku akan mendapat markah melebihi kawan-kawan aku yang lain. Ada juga kawan yang tak suka dengan aku, ah! sapa suruh kau malas buat latihan 🙂 . Dia cakap cikgu pilih kasih, haha. Tidak mungkin, sebab jika kau tengok jawapan aku pasti kau tak rasa cikgu pilih kasih. Dia mengalah.

Aku seronok bercerita tentang pengalaman aku disekolah dulu, tetapi cukuplah setakat ini. Dan sehingga sekarang, aku masih berhubung dengan guru-guru sekolah rendah dan sekolah menengah yang pernah mengajar aku. Aku rasa seronok bila terkenangkan mereka.

Aku rasa ini disebabkan aku sering berdamping dengan guru-guru, berkat ilmu daripada guru-guru aku. Aku juga suka bersembang dengan guru-guru yang garang, percayalah, garang dalam kelas saja. Luar kelas macam ibu/ayah dan anak. Terima kasih Cikgu!.

Aku tidak mahu mengulas panjang berkaitan kejadian kes pelajar tendang guru ini. Pada hari ini, aku tidak mampu menulis panjang untuk memberi sedikit nasihat dan teguran dari guru-guru aku dahulu. Cuma aku berharap, pelajar-pelajar di luar sana hormatilah guru.

1 thought on “Hormatlah Pada Guru”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.